KPDNHEP ambil 2 langkah jangka pendek tangani isu kekurangan bekalan petrol RON 95

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 9 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil dua langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani segera isu bekalan petrol RON 95 yang terjejas di beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah pertama ialah mendapatkan kerjasama daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal-kapal minyak.

“Kedua, pemantauan berterusan pihak KPDNHEP supaya tidak berlaku penyelewengan ke atas bekalan bahan api kenderaan terutamanya petrol RON 95,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Nanta, kementerian telah menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa di jalan raya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Ini ekoran proses peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara yang membolehkan Keluarga Malaysia pulang ke kampung halaman masing-masing,” ujar beliau.

Terdahulu jelas Nanta, KPDNHEP telah mengambil tindakan awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu.

Selain itu tambah beliau, pihak Kementerian juga telah mengambil langkah sewajarnya dengan membenarkan semua stesen minyak di seluruh negara untuk menambah had kuantiti simpanan terutamanya bagi petrol RON 95.

Berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyatakan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG.

Setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing.

“Antara faktor yang telah dikenalpasti menyumbang kepada berlakunya kekurangan bekalan petrol RON 95 adalah peningkatan mendadak jumlah kenderaan yang menyumbang kepada meningkatnya permintaan petrol RON 95 di seluruh negara.

“Selain itu, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga menyumbang kepada berlakunya isu ini,” ujar Nanta. — DayakDaily