KP Penerangan lakukan kunjungan hormat kepada Abang Johari

Ibrahim (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari (tiga dari kanan), kelihatan Abang Sardon (dua dari kanan) dan Nor Azli (kanan).

KUCHING, Sept 3: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Penerangan Malaysia yang diketuai Ketua Pengarah Penerangan Dato Ibrahim Abdul Rahman di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri Sarawak, petang tadi.

Tujuan kunjungan adalah untuk menjemput Abang Johari untuk merasmikan Majlis Penutupan MyMerdeka sempena Bulan Kebangsaan 2018 yang akan diadakan di Pasaraya Mydin Petra Jaya pada Sept 14 depan.

Ibrahim yang ditemui selepas kunjungan hormat tersebut turut memaklumkan bahawa program itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.


Beliau berharap semua pihak terutamanya warga Kuching hadir memeriahkan dan menyertai aktiviti-aktiviti yang turut dianjurkan sepanjang pameran berlangsung.

“Program MyMerdeka ini berlangsung selama tiga hari iaitu dari Sept 14 sehingga 16 depan.

“Ia terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen pameran dan segmen aktiviti berinteraktif, melibatkan pelbagai pengisian seperti pameran bercetak dan pameran e-digital sejarah negara, Raja Kita, Aspirasi Negara, sudut seni dan karikatur serta sudut tayangan multimedia, persembahan ‘busking’, pertandingan nyanyian patriotik dan kuiz kenegaraan,” katanya di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dijangka menghadiri majlis penutupan program itu nanti.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri, Abang Sardon Abang Hashim dan Penolong Pengarah Unit Rekabentuk dan Multimedia Jabatan Penerangan Malaysia, Nor Azli Mohd Nor Azian. — DayakDaily