Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 rentasi 33 daerah di seluruh negeri

Abang Johari sambil memegang Jalur Gemilang melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 13 Ogos: Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang bermula hari ini akan merentasi 33 Daerah di Sarawak.

Menurut Pengarah Penerangan Negeri Jaafar Jantan, ia melibatkan 37 persinggahan dengan perjalanan sejauh lebih kurang 4025 km bermula dari Telok Melano sehinggalah ke Lawas.

“Konvoi yang melibatkan sebanyak lebih 30 buah kenderaan dari pelbagai agensi ini akan berpatah balik ke Betong pada 31 Ogos 2022 untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Majlis telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut melakukan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022.

Terdahulu Abang Johari telah menyertai Program “Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia” dengan merentasi Jambatan Darul Hana dari Tebingan Kuching menuju ke DUN dengan jarak perjalanan sejauh 0.65 km.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, sukan Dan Pembangunan Usahawan dato Sri Abdul karim Rahman Hamzah dan Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar. — DayakDaily