Kontraktor rugi RM4,300 ditipu kekasih FB yang kononnya miliki USD1.5 juta

Laman profil FB yang digunakan oleh suspek yang kononnya bernama Sandra Robinson.

Oleh Dean Adam

SIBU, Okt 18: Mudah terpedaya dengan janji-janji manis kekasih Facebook (FB), seorang kontraktor lelaki rugi RM4,300 selepas ditipu sindiket ‘parcel scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan ditipu antara Oktober 10 hingga 15 lepas.


Menurutnya, modus operandi sindiket penipuan berkenaan ialah dengan menghubungi mangsa melalui laman sosial FB Messenger menggunakan telefon bimbit.

“Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan seorang wanita kononnya bernama Sandra Robinson yang kemudian memaklumkan lelaki itu dia ada memiliki wang kira-kira USD1.5 juta

“Kekasih FB itu memberitahu mangsa wang itu diambil daripada peti simpanan Saddam Hussien semasa penangkapannya dan mahu memindahkan sedikit wang berkenaan ke dalam akaun mangsa sebagai tanda hubungan percintaan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, pada Oktober 14 lepas, melalui perbualan melalui aplikasi FB Messenger, perempuan itu memberitahu mangsa dia telah membayar pakej UDS12,000 yang akan sampai di lapangan terbang pada keesokkan harinya.

Katanya, suspek juga memberitahu seorang ejen akan menghubungi mangsa bagi menguruskan pakej wang tersebut.

“Pada Oktober 15 lalu, mangsa telah menerima satu panggilan daripada nombor telefon 016-9445687 yang telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) yang memberikan nombor akaun Public Bank dan meminta mangsa untuk memasukkan wang tunai RM4,300.

“Pada hari yang sama kira-kira pukul 2.05 petang, bertempat di Public Bank Jalan Tunku Osman di sini mangsa kemudian memasukkan wang tunai sebanyak RM4,300 melalui mesin tunai ke dalam akaun Public Bank suspek,” katanya.

Sambil menambah, Mustafa berkata, selepas mangsa tidak menerima sebarang maklum balas daripada suspek, dia kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. — DayakDaily