Kompleks Kebajikan Anak Yatim Sibu tukar nama kepada Komplek Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu

Kelihatan Juma’ani pada majlis pengisytiharan secara maya melalui platform "livestream" dari kediamannya di Kuching.

KUCHING, 19 April: Kompleks Kebajikan Anak Yatim Sibu kini dikenali sebagai Komplek Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu.

Pengisytiharan tersebut dilakukan secara maya melalui platform “livestream” yang disempurnakan isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dari kediamannya di Kuching hari ini.

Majlis diadakan untuk memaklumkan secara rasmi kepada masyarakat tentang penamaan baru Komplek Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang sebagai penghormatan kepada Juma’ani selaku Penaung Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim).


Majlis pengisytiharan nama kompleks ini turut disertai oleh Menteri Muda Kesihatan yang juga ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee secara maya dari Pejabat DUN Nangka Sibu.

Komplek Peryatim Sibu mula beroperasi pada Jun 2014 bertempat di Taman Desa Kemuyang dan mempunyai sejumlah 61 orang anak-anak yang terdiri daripada 30 orang anak lelaki dan 31 orang anak perempuan yang berusia sekitar 7 hinga 19 tahun.

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah secara maya adalah Pengerusi Peryatim Sarawak iaitu Datu Misnu Taha, ahli-ahli lembaga Peryatim Sarawak serta Ketua Pegawai Eksekutif Peryatim Sarawak Mohamad Salleh Hamden. — DayakDaily