Kompaun jika merokok di premis makanan bermula 1 Jan 2020

Cigarettes. — DayakDaily.com file pic. //Photo: Pixabay

KUCHING, Dis 30: Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan penguatkuasaan penuh larangan merokok di semua premis makanan di seluruh negara bermula 1 Januari 2020.

Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, bermula tarikh tersebut mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua premis makanan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Katanya, bagi kesalahan pertama, jumlah kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.


“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

“Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” ujar beliau.

Penguatkuasaan penuh ini dilaksanakan setelah penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan yang bermula sejak 1 Januari 2019 tamat.

Ia merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

Di samping itu, Dr Noor Hisham juga mengingatkan pemilik premis untuk memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004.

“Premis makanan seharusnya tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

“Pemilik premis juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan,” katanya.

Jika gagal mematuhi arahan tersebut, tambah Dr Noor Hisham, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua.

Manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.

Penguatkuasaan penuh larangan merokok dilaksanakan dengan kerjasama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. — DayakDaily