This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
SERIAN, 19 Jun: Pembinaan Klinik Kesihatan Serian yang baharu dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo berkata, klinik yang dibina dengan kos RM23 juta itu kini sudah 73 peratus siap.
“Walaupun ada sedikit lewat, klinik kesihatan Kelas 3 ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Cuma sedikit perkara yang berkaitan dengan bahan dan peralatan klinik perlu diselesaikan,” katanya pada sidang media selesai lawatan ke tapak projek hari ini.
Tambah Aidel, Klinik Kesihatan Serian baharu akan beroperasi pada tahun hadapan.
Ujar beliau, ia bergantung kepada secepat mana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia boleh menempatkan kakitangannya di klinik tersebut.
“Sudah tentu masyarakat di Serian mendapat manfaat daripada kemudahan ini.
“Kita juga menjangkakan penduduk dari daerah lain akan menggunakan perkhidmatan klinik ini, setelah kita menaik taraf jalan terutamanya Lebuhraya Pan Borneo,” kata Aidel.
Hadir sama Adun Bukit Semuja John Ilus dan Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada. — DayakDaily