Klinik kesihatan lebih besar diperlukan di Batu Niah

Lukanisman Awang Sauni

LAPOK, 17 Okt: Mewujudkan satu klinik kesihatan yang lebih besar di Batu Niah melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) antara agenda utama MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Menurut beliau, ia menjadi satu keutamaan setelah klinik sedia ada di pekan tersebut adalah sangat kecil dan tidak mampu menampung keperluan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Di dalam RMK12, saya fokus kepada usaha mewujudkan satu klinik besar yang boleh menampung lebih banyak pesakit dan ini telah saya bangkitkan di Parlimen.


“Rakyat mahukan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, kerana kalau kita lihat di Batu Niah sekarang klinik sedia ada adalah sangat kecil,” ujar beliau ketika dihubungi D’Drift pada Khamis (14 Okt).

Selain itu tambah Lukanisman, pelbagai projek juga sedang diatur di kawasan Parlimen Sibuti seperti projek membina Tebingan Sungai Batu Niah, tamu baharu untuk kemudahan para peniaga dan projek pengindahan Gua Niah.

Beliau yakin, dengan semua perancangan yang telah disusun, Batu Niah boleh menjadi salah satu bandar terbesar di masa hadapan walaupun ia bukannya pusat pentadbiran daerah Subis.

Berhubung projek Tebingan Sungai Batu Niah, beliau berkata ia kini di peringkat rekabentuk dan dianggarkan bernilai RM10 hingga RM12 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha akan ditingkatkan untuk menaiktaraf sistem perparitan di Batu Niah berikutan kewujudan pusat komersial baharu.

Tambah Lukanisman, dalam tempoh lima tahun yang lepas kawasan Parlimen Sibuti telah melalui banyak perubahan khususnya dalam penyediaan kemudahan demi kesejahteraan rakyat.

“Kini Unifi sudah ada di Batu Niah iaitu pada awal tahun ini melalui projek Jendela (Jalinan Digital Negara) dan sudah sampai ke Simpang Sepupuk.

“Di Bekenu pun sudah ada Unifi di mana ia disediakan secara berperingkat. Dalam persidangan parlimen dimaklumkan bahawa 16 tiang telekomunikasi akan dibina di kawasan Sibuti menerusi Jendela,” ujarnya.

Katanya lagi, usaha diteruskan untuk menjadi kawasan Parlimen Sibuti sebagai salah satu koridor pelancongan di negeri ini.

“Ini adalah kerana kita ada Gua Niah, Pantai Tusan yang memiliki geologi batuan dan Sibuti ‘coral reefs’ (Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti).

“Fokus saya ialah mempertingkatkan rangkaian perhubungan telekomunikasi dan ini sangat penting,” kata Lukanisman. — DayakDaily