KKM tidak pernah meluluskan produk herba memulih, mencegah demam denggi, Zika atau Chikungunya

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, Feb 13: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) tidak pernah meluluskan sebarang produk herba dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam Denggi, Zika atau Chikungunya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian tersebut telah menerima aduan mengenai produk herba yang diiklankan melalui media sosial dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam Denggi.

Beliau menegaskan bahawa semua pengiklanan bagi produk yang berdaftar dengan PBKD perlu mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU), KKM sebelum disiarkan kepada orang awam. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas iklan ubat yang disiarkan tanpa kelulusan LIU di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.


“KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan meragukan yang dibuat pada sebarang produk. Sebarang maklumat berkenaan produk ubat yang meragukan boleh disalurkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pautan https://www.npra.gov.my/index.php/public-enquiry-complaints/contactus atau menelefon talian 7883 5400 atau emel npra@npra.gov.my.”

KKM turut menyarankan semua lapisan masyarakat untuk terus melakukan aktiviti pencegahan Denggi, Zika dan Chikungunya di mana jangkitan-jangkitan ini adalah berpunca daripada nyamuk Aedes. Aktiviti kawalan pembiakan nyamuk Aedes adalah penting, misalnya dengan memastikan bekas-bekas yang boleh menakung air dibersihkan atau dimusnahkan segera jika tidak diperlukan. Manakala bekas-bekas air yang sukar dikosongkan hendaklah diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam Denggi seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, ruam, loya, muntah atau gejala amaran awal seperti muntah berterusan, sakit perut atau keletihan. — DayakDaily