KKM: Seorang lagi pesakit Covid-19 pulih sepenuhnya

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, MAC 11: Seorang lagi pesakit yang disahkan positif Covid-19 telah pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang merupakan kes ke-78 telah discaj daripada wad.

“Kes ke-78 yang disahkan positif penyakit Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Dengan perkembangan itu tambah Dr Noor Hisham, jumlah yang telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad ialah 26 kes.

Mengulas berhubung status terkini Covid-19, beliau memaklumkan terdapat 20 kes baharu jangkitan Covid-19 sehingga jam 12 tengahari, hari ini.

Katanya, kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenal pasti dan aktiviti pengesanan kontak rapat sedang dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenalpasti.

Menurut beliau,dengan pertambahan 20 kes baharu ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 149 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 22 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI), 124 kes dari kalangan kontak rapat.

“Satu kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) melalui survelan Covid-19 dan 2 lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan,”katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sehingga ini, 2 kes telah dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan alat pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

Daripada 2 kes ini katanya, 1 kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala 1 lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Februari 2020, boleh dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

“Kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif,” tegas Dr Noor Hisham.—DayakDaily