KKM rampas produk Energy Candy bernilai RM131,340.70

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Feb 18: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merampas sejumlah 434,742 paket produk Energy Candy bernilai RM131,340.70.

Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi telah dijalankan di seluruh negara bagi memastikan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy tidak dijual di pasaran.

“Sebanyak 160 premis pemborong, pengedar dan peruncit telah diperiksa dan sejumlah 434,742 paket produk bernilai RM131,340.70 telah dirampas.


“Arahan larangan penjualan juga telah dikeluarkan kepada peniaga atas talian di semua platform e-dagang,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Semalam Dr Noor Hisham telah memaklumkan penguatkuasaan produk Energy Candy yang mengandungi racun berjadual Tadalafil yang tidak dibenarkan ditambah dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Tambah beliau lagi, KKM ingin menegaskan sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

Katanya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. — DayakDaily