KKM: Kuching Zon Merah Covid-19

Covid-19 (file pic)

KUCHING, 29 Mac: Bahagian Kuching adalah antara tujuh kawasan di seluruh negara yang telah di kategorikan sebagai Zon Merah penularan wabak Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui perkongsian di Facebook hari ini, memaklumkan lima kawasan lain ialah Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang di Selangor, Tawau di Sabah dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Justeru, KKM menyeru rakyat agar mematuhi Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) yang berkuatkuasa sehingga 14 April.


“Anda diminta untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan seperti membasuh tangan dengan air dan sabun, serta melakukan penjarakan sosial jika anda perlu mendapatkan bekalan makanan di pasaraya,” katanya.

Perkongsian Facebook KKM

Sehingga 28 Mac, pukul 12 tengah hari, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,320 kes dan,jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 27 kes.

Sementara itu, lapan lagi kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 118 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac yang lalu.

Sejak kes kematian pertama dilaporkan pada 17 Mac lepas, Sarawak telah merekodkan lima kematian akibat Covid-19 setakat ini. — DayakDaily