Khusiri Salleh dilantik sebagai pengerusi Tekun Nasional Sarawak

Wan Junaidi (kiri) menyampaikan surat lantikan kepada Khusiri.

KUCHING, 2 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini mengumumkan pelantikan Khusiri Salleh sebagai pengurus Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional bagi Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Khusiri merupakan seorang yang mempunyai pengalaman yang luas dan mampu membawa Tekun Nasional Sarawak ke satu tahap yang cemerlang.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang berkaitan pengurusan dan ini amat bertepatan dengan tugas baharu beliau di Tekun Nasional Sarawak.

“Dengan pelantikan ini, diharap beliau dapat memperkukuhkan lagi operasi dan perkhidmatan Tekun di Sarawak seluruhannya,” katanya.

Wan Junaidi juga berharap beliau mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat peniaga khususnya kepada usahawan PKS dan mikro.

Pelantikan teersebut berkuatkuasa pada 3 Ogos, 2020.-DayakDaily.