KHM penghubung di antara kerajaan dan rakyat, kata Dr. Kelvin

Yii (lima kiri) bersama yang lain pada Program ‘Gong Xi Fa Cai@Komuniti’ di Kota Sentosa.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, FEB 6: Komuniti Harapan Malaysia (KHM) mempunyai peranan besar dalam membantu pihak kerajaan persekutuan, tegas MP Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii.

Berucap di Program‘Gong Xi Fa Cai@Komuniti’ di Kota Sentosa di sini semalam, KHM katanya bertanggungjawab menyebarkan dasar, pencapaian dan polisi kerajaan Malaysia Baharu kepada masyarakat setempat dari masa ke semasa.


“Oleh itu, KHM juga merupakan jambatan untuk merapatkan hubungan di antara rakyat dengan Kerajaan.

“Saya percaya KHM akan lebih daripada mampu untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat di sekeliling mereka.

“KHM menjadi penghubung yang efektif dengan menggunakan pelbagai medium komunikasi terkini seperti media sosial,” katanya.

Sebagai contoh tambah Dr. Yii, KHM boleh membantu Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak(JPNMS) dalam menyebar maklumat terkini berkaitan wabak koronavirus.

Katanya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang orang awam harus ambil dalam usaha membendung wabak ini daripada terus merebak.

“Walaubagaimanapun, segala maklumat yang hendak disebar haruslah benar dan sahih.

“Perkara ini adalah penting agar masyarakat tidak terkeliru dengan maklumat yang salah yang seterusnya mungkin mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Turut hadir Pengerusi KHM Kota Sentosa Ting Kee Kai dan Pengarah JPNS Suwadi Guliling. —DayakDaily