Khairy mahukan Hospital Baharu Sri Aman beroperasi segera

Khairy (tengah) pada lawatan ke Pusat Jagaan Harian di Hospital Umum Sarawak

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 SEPT: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mahukan Hospital Baharu Sri Aman beroperasi dengan segera.

Pada lawatan ke Pusat Jagaan Harian di Hospital Umum Sarawak(SGH) di sini hari ini, beliau berkata pembinaan hospital tersebut (Sri Aman) sudah siap.


“Ini adalah kerana hospital tersebut telah pun siap dibina, cuma sekarang dalam tempoh percubaan. Saya telah minta Ketua Setiausaha Kementerian(KSU) melihat perkara ini.

“Kalau bukan keseluruhan, mungkin sebahagiannya dapat dibuka lebih awal dan ia penting untuk mengurangkan beban hospital di Kuching,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan bahawa pihak kontraktor ‘penyelamat’ bagi Projek Hospital Petra Jaya telah dilantik.

Katanya, kontraktor itu telah pun memulakan kerja di tapak pada bulan Februari lepas.

Beliau menjangkakan hospital itu dapat beroperasi pada tahun 2024.

“Kerja-kerja menyiapkan Hospital Petra Jaya mengambil sedikit masa kerana untuk tempoh beberapa bulan ini, pihak kontraktor terpaksa melakukan kerja pembersihan,” ujar beliau.

Berhubung pembinaan Pusat Kanser Sarawak, Khairy berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi(EPU) untuk pertimbangan. — DayakDaily