Keusahawanan kunci utama pertumbuhan ekonomi

Abdul Karim (tiga kiri) hadir ke Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2023 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak. Foto: UKAS

KUCHING, 26 Feb: Keusahawanan menjadi kunci utama dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdul Karim memaklumkan program keusahawanan bergiat aktif sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Kementerian melalui bahagian pembangunan usahawan terus komited dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam melahirkan usahawan berpotensi tinggi sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.


“Ia selaras dengan aspirasi digital oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di mana usahawan hari ini perlu dilengkapi dengan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2023 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak pada semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga akan terus komited dalam menyediakan lebih banyak program keusahawanan kepada para usahawan belia Sarawak tahun ini.

Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya dalam memastikan para belia dapat berjaya sekaligus dapat menggalas tanggungjawab dalam bidang keusahawanan pada masa akan datang.

Untuk rekod, penganjuran YES telah memanfaatkan lebih 2,000 belia dan usahawan setempat di enam bahagian iaitu Miri, Sibu, Bintulu, Limbang, Sri Aman dan Lundu. — DayakDaily