Ketua Whip GPS harap tuntutan hak-hak Sarawak dipercepatkan kerajaan baharu

Datuk Seri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, MAC 2: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan rundingan dalam menuntut hak-hak dan kepentingan melalui Kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi kenyataan hari ini berkata, usaha ke arah itu diharap dapat dipercepatkan.

“Keutamaan perjuangan GPS dalam menuntut hak dan kepentingan Sarawak tetap akan diteruskan.

Advertisement

“Dalam memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, GPS telah meletakkan syarat bahawa kepentingan negara dan Sarawak perlu diutamakan, dengan tiada kompromi dalam hal ini,’katanya.

Dalam pada itu, Fadillah turut berkata setakat ini GPS tidak ada mengadakan sebarang perbincangan mengenai jawatan Kabinet dengan Perdana Menteri.

Katanya, buat masa sekarang GPS hanya melihat kepada kepentingan negara, untuk memastikan politik negara kembali stabil dan kepentingan Sarawak diutamakan.

“Dalam Mesyuarat GPS di Kuala Lumpur malam tadi, mandat penuh telah diberikan kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk memutuskan sama ada kita akan bersama dalam Kerajaan Persekutuan dengan mengambil jawatan Kabinet atau tidak.

“Namun apa yang pasti GPS tidak akan bergabung di dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, sebaliknya hala tuju GPS akan terus bergerak sebagai sebuah entiti politik tempatan yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan,” katanya.

GPS ujar Fadillah lagi bersyukur kerana akhirnya kemelut politik negara telah pun berakhir dalam keadaan aman.

Katanya, ia berkat kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan krisis secara adil dan saksama.

“Keputusan GPS dalam membantu menyelesaikan kemelut politik negara adalah demi kepentingan negara dan kestabilan politik,”tegas Fadillah.— DayakDaily

Advertisement