Ketua-ketua jabatan harus kuasai komunikasi digital — Abu Bakar

Abu Bakar (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil kumpulan kreatif dan inovatif Jabatan Tanah Dan Survei.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.



KUCHING, 14 Sept: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki mahu semua ketua-ketua jabatan untuk menguasai teknologi digital khususnya dalam komunikasi.

Katanya, mereka hendaklah boleh menggunakan emel dan aplikasi Zoom atau aplikasi lain bagi memudahkan urusan kerja ataupun pentadbiran.

“Kepimpinan digital, kita boleh tanya berapa ramai yang boleh menguasai digital, tanya ketua jabatan berapa ramai yang sentiasa berkomunikasi menggunakan emel atau aplikasi lain.


“Berapa orang yang tahu menggunakan emel? Saya tahu sesetengah ketua jabatan masih tidak pandai menggunakan emel serta aplikasi Zoom dan ini berlaku.

“Saya mahu semua ketua-ketua jabatan boleh menguasai teknologi digital,” katanya di Majlis Hari Inovasi Dan Integriti Tanah Dan Survei 2022 di sini, hari ini.

Tambah Abu Bakar, kerajaan merancang untuk menghantar seberapa ramai anggota-anggota perkhidmatan awam ke universiti terkemuka seperti Harvard dan Oxford.

Katanya, ini bagi memastikan penjawat awam Negeri sentiasa setanding dengan anggota-anggota perkhidmatan awam yang lain.

Beliau juga menekankan perihal kecekapan di dalam setiap anggota perkhidmatan awam.

“Saya ingin melihat perkembangan pemimpin muda di dalam perkhidmatan awam kita.

“Saya telah mengarahkan pihak atasan untuk merangka satu pelan bagi memastikan anggota-anggota perkhidmatan awam sentiasa sedia untuk berdepan dengan perubahan yang berlaku pada masa akan datang, ” ujar Abu Bakar. — DayakDaily