Ketua Bersatu Sarawak sambut baik BKSS 5.0

Senator Jaziri Alkaf Suffian

KUCHING, 22 Jan: Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Suffian menyambut baik pengumuman oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 yang bernilai RM405 juta semalam.

Kata beliau, BKSS 5.0 sangat membantu dalam meringankan beban rakyat negeri ini akibat penularan wabak Covid-19 dan banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini.

“Pengumuman oleh kerajaan negeri Sarawak semalam mengenai lanjutan bantuan kepada rakyat negeri itu yang terkesan akibat Covid-19 dan bencana banjir adalah tepat pada masanya dan mampu membantu rakyat yang terkesan akibat permasalahan yang berlaku,” kata Jaziri dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, melalui 11 bantuan yang diumumkan oleh Abang Johari bagi membantu rakyat, inisiatif dan usaha kerajaan negeri bukan sahaja membantu rakyat malah meringankan beban para peniaga yang terkesan akibat Covid-19 dan banjir yang melanda sebahagian Sarawak baru-baru ini.

Tambah Jaziri lagi, dalam usaha membantu rakyat, usaha Kerajaan Sarawak memberi diskaun antara lima hingga 25 peratus terhadap bil elektrik dan bil air antara bulan Januari hingga Jun 2021, mampu meringankan beban rakyat selain memberi manfaat kepada lebih 600,000 isi rumah.

“Malah inisiatif memberi diskaun 25 peratus kepada taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 mulai Januari hingga Jun 2021 juga antara langkah mendahulukan rakyat yang dilihat terkesan akibat dua bencana yang melanda mereka selain usaha memberi diskaun 50 peratus sewa Skim Perumahan perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) mulai Januari hingga Jun 2021,” kata beliau.

Jelas Jaziri lagi, inisiatif Kerajaan Sarawak membela para peniaga terutama usahawan kecil dan sederhana adalah amat penting dalam memastikan perniagaan masih dapat dipertahankan serta pekerjaan dapat diteruskan walaupun keadaan ekonomi mungkin sedikit terjejas akibat bencana.

“Antara usaha yang mampu memberi impak besar terhadap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengeculian bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu,” kata beliau.

Selain itu, Jaziri berkata, keprihatinan Kerajaan Saraawk ini diteruskan dengan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha PKS yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik badan-badan berkanun dan syarikat milik kerajaan negeri serta penangguhan pembayaran Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhanan (SPIKS) mulai Januari hingga Jun 2021.

“Malah pemberian diskaun 30 peratus untuk pembayaran cukai tahan melibatkan kediaman, pusat komersial, industri, perladangan berskala besar dan kemudahan awam dan penangguhan pembayaran premium tanah secara sekali bayar bagi tahun 2021 melibatkan tanah pertanian, kediaman, komersial dan industri serta institusi awam dan swasta antara usaha yang mampu memberi kesan positif terhadap ekonomi PKS,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau menyeru agar pihak pembangkang di Sarawak tidak mempolitikkan usaha murni Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari malah mengaitkan ia sebagai bantuan untuk pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

“Di saat rakyat Sarawak terbeban dengan musibah dan kesusahan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang berlaku adalah tidak matang untuk ahli politik membebankan mereka dengan dakwaan yang tidak benar serta mengelirukan rakyat.

“Pada saya, politik khidmat adalah yang paling penting. Rakyat perlu menjadi keutamaan pada ketika rakyat dilanda musibah ketika ini dan sama-samalah kita melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan demi kepentingan rakyat Sarawak,” tambah Jaziri. — DayakDaily