Ketam nipah mampu menjadi pendapatan lumayan

Gerai menjual ketam nipah milik Nur Fatin.

KOTA SAMARAHAN, 5 Sept: Ketam nipah bersaiz besar ketika ini mempunyai harga cukup tinggi di pasaran sehingga sekilogram atau seikat boleh mencecah RM45.

Ini diakui Nur Fatin Keri, 23, dari Kampung Sungai Pendam yang membantu bapa dan saudara maranya menjual ketam nipah ditangkap mereka di gerai tepi Jalan Dato Mohd Musa berhadapan simpang Kampung Bukit Berangan di sini.

“Bagi ketam nipah bersaiz kecil harganya dijual RM16 sehingga RM25 sekilogram atau seikat di gerai saya manakala yang bersaiz besar dari RM35 hingga RM45 sekilogram atau seikat,” katanya ketika ditemui hari ini.


Nur Fatin yang menjual ketam terbabit bersama saudara dari kampungnya, Biah Mu, 39,  juga mendedahkan mampu menjual habis sehingga 20 kilogram ketam terbabit di gerainya setiap hari dan memperolehi pendapatan jualan sekitar RM200 sehari.

“Tetapi bekalan ketam ditangkap bapa saya ini dan tujuh saudara mara sekampung lain yang menjadi nelayan adalah tidak menentu, ada kalanya tangkapan mereka melebihi 20 kilogram dan ada kalanya hanya satu atau dua kilogram sahaja,” katanya.

Ketam nipah bersaiz besar dijual Nur Fatin.

Beliau mendedahkan bapa dan saudaranya akan turun menangkap ketam ini seawal jam 5 pagi dengan memasang perangkap yang diisi umpan kepala ayam di kawasan Tabuan dan Bako di Kuching.

Katanya pada waktu tengahari, mereka kemudian akan membawa hasil tangkapan ketam pagi terbabit pulang ke rumah bagi 65 ketam akan ditimbang dan diikat untuk dijual di gerainya.

“Kebiasaannya bekalan ketam nipah terbabit dijual di gerai ini mulai jam 11 pagi dan akan habis dijual kesemuanya sekitar jam 1 petang,” katanya yang sudah 20 tahun menjual ketam nipah dan menjadi sumber pendapatan utama keluarganya serta saudara mara sekampungnya.-DayakDaily