Keseronokan mandi sungai berakhir tragedi, seorang remaja lelaki dilaporkan hilang

Anggota bomba melakukan perbincangan di pos kawalan bomba.

Oleh Dean Adam

DALAT, Nov 11: Keseronokan empat remaja lelaki mandi di sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Kampung Terus, Oya di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa, Rabani Abd. Razak, 14, dikatakan hilang dibawa arus sungai yang deras.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihak bomba hanya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 7.06 malam.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, sebelum kejadian mangsa dikatakan bersama tiga rakannya sedang mandi di sungai berkenaan.

“Pada masa kejadian air sungai dikatakan sedang mula hendak pasang dan mangsa cuba untuk berenang menyeberangi sungai berkenaan.

“Manakala rakan-rakan yang lain memerhati dan hanya berenang di tepi sahaja sebelum kelibat mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua telah bermula pada pukul 7.45 pagi.

Katanya, operasi dijalankan dengan kaedah pencarian di permukaan sungai dengan jarak sejauh 3 hingga 4 kilometer.

“Setakat ini, mangsa belum lagi ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya. ā€” DayakDaily