Keseronokan mandi kolam berakhir tragedi, remaja lelaki ditemui mati lemas

Petugas perubatan memeriksa keadaan mangsa.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 11: Keseronokan seorang remaja lelaki mandi bersama rakan-rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas di sebuah tasik di PPR Bandar Ria Park di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Richmond Teo Yii Wen, 17, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.49 petang.

Jelasnya, berdasarkan maklumat dari rakan mangsa, remaja berkenaan dikatakan mandi di dalam tasik bersama rakan mereka di tempat yang agak dalam.

“Namun mangsa dikatakan tidak timbul, manakala rakan-rakan yang lain naik ke atas. Rakan mangsa cuba mencari namun gagal sebelum mereka meminta bantuan penduduk setempat untuk mencari mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh penduduk setempat sebelum ketibaan pasukan bomba.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian membuat CPR terhadap mangsa, tetapi tiada tanda-tanda mangsa bernafas.

“Petugas perubatan juga berusaha melakukan CPR terhadap mangsa namun masih juga gagal sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya dan operasi ditamatkan pada pukul 6.55 petang,” katanya. — DayakDaily