Kes sembuh atasi kes positif tiga kali berturut dalam tempoh seminggu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 13 Feb: Jumlah kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 terus mengatasi jumlah kes jangkitan baharu untuk kali ketiga berturut-turut dalam tempoh seminggu ini dengan 3,515 kes sembuh dilaporkan hari ini.

Jumlah itu menjadikan kumulatif kes sembuh sepenuhnya dari jangkitan wabak berkenaan sehingga kini adalah 209,289 kes atau 79.94 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan sehingga hari ini (13 Feb).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memuat naik statistik itu di laman Facebooknya berkata, terdapat 3,499 jangkitan baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan di seluruh negara kini melepasi  angka 261,805 kes.


Katanya daripada jumlah tersebut sebanyak 3,498 kes yang dilaporkan hari ini merupakan jangkitan tempatan dan hanya satu kes membabitkan kes import yang dikesan mendapat jangkitan di luar negara dilapor pada hari ini.

“Daripada 3,498 kes jangkitan tempatan yang dilaporkan hari ini, 53.5 peratus atau 1,871 kes melibatkan warga tempatan sementara 46.5 peratus atau 1,627 kes lagi melibatkan warga asing.

“Selain itu, sebanyak 51,558 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 turut dilaporkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 263 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 118 kes memerlukan bantuan penafasan.

Katanya setakat jam 12 tengahari tadi, lima kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kemaitan akibat jangkitan Covid-19 meningkat kepada 958 kes atau 0.37 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor terus kekal melaporkan kes harian tertinggi jangkitan Covid-19 dengan 1,345 kes dilaporkan hari ini diikuti Johor (802 kes) dan Kuala Lumpur (511 kes).

“Selain tiga negeri terbabit, empat negeri lain turut melaporkan tiga digit kes positif harian iaitu  Sarawak (152 kes) Pulau Pinang (138 kes), Perak (121 kes) dan Kedah (111 kes) manakala negeri-negeri lain melaporkan dua digit kes kecuali Perlis, Putrajaya dan Labuan yang melaporkan angka satu digit kes positif Covid-19,” katanya. — DayakDaily