Kes positif Covid-19 Malaysia lepasi angka 14 ribu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Kadir Edison

PUTRAJAYA, 8 Okt: Sejumlah 375 kes positif jangkitan Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini melepasi angka 14,000 kes.

Ini menjadikan lapan hari berturut-turut jumlah kes positif direkodkan melebihi angka 200 dengan kes tertinggi direkodkan pada 6 Oktober lalu iaitu 691 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 18 kes pulih direkodkan hari ini menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya meningkat kepada 10,519 kes atau 73.2 peratus daripada keseluruhan kes positif jangkitan wabak itu.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 146 kes atau 1.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya ketika siding media khas KKM di sini hari ini.

Katanya, lima kes kematian terbabit direkodkan masing-masing satu kematian di Hospital Lahad Datu, Hospital Semporna dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan sementara Hospital Tawau merekod dua kematian.

Tambah Dr Noor Hisham, dengan 375 kes baharu dilaporkan hari ini, kes aktif keseluruhan meningkat kepada 3,703 kes dengan 60 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada 60 kes yang dirawat di ICU pada ketika ini, 20 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Beliau berkata Sabah menyumbang kepada jumlah terbesar keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini dengan 271 kes di ikuti Selangor (36) dan Kedah (16).

“Selain tiga negeri itu, di Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing rekod 10 kes sementara di Sarawak, Johor, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Putrajaya, Melaka, dan Pulau Pinang kurang daripada 10 kes dilaporkan.

“Hanya tiga negeri tiada melaporkan kes positif iaitu Perlis, Pahang dan Kelantan,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, daripada 375 kes positif yang dilaporkan hari ini, 371 merupakan kes jangkitan tempatan manakala empat kes merupakan kes import.

“Lima cluster baharu juga dilaporkan hari ini iaitu Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Tanamera di Sabah, Kluster Bah Bangat di Labuan, Kluster Bah Arnab di Sarawak dan Kluster jalan Pantai di Kuala Lumpur.

“Kelima-lima cluster ini merekodkan 53 kes positif sehingga kini dan siasatan serta pengesanan kontak-kontak rapat dengan indeks kluster ini sedang gian dilakukan,” katanya. — DayakDaily