Kes langgar lari: Penunggang motosikal maut, pemandu Wira diburu

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Jalan Matang-Malihah malam tadi (21 Nov, 2020).

KUCHING, 22 Nov: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas dilanggar lari sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Matang-Malihah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Joseph Aw berusia 58 tahun dan berasal dari Jalan Chawan.

Beliau memberitahu, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal menghala ke arah Malihah sekitar jam 7.40 malam.


“Sebuah kereta dipercayai Proton Wira dikatakan cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Viva di hadapannya sebelum tiba-tiba masuk ke laluan kereta berkenaan lalu melanggar bahagian hadapan kanannya.

“Mangsa yang berada di hadapan kereta Viva tersebut juga turut dilanggar menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pakar perubatan.

“Pemandu dan penumpang kereta Viva dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Manakala pemandu Wira yang melanggar mangsa dikatakan melarikan diri bersama keretanya dari lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Usaha mengesan pemandu yang melarikan diri itu sedang giat dijalankan,” katanya. — DayakDaily