Kes influenza terkawal, walaupun ada peningkatan kes ILI dan SARI pada Disember 2019 — KKM

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jan 6: Jangkitan influenza di Malaysia terkawal walaupun terdapat sedikit peningkatan kes semenjak pertengah bulan Disember 2019.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Ia berdasarkan trend yang direkodkan daripada aktiviti survelan kadar konsultasi kes ;influenza ‘like-illness’ (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari seluruh negara.


“Rekod menunjukkan terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI semenjak pertengahan bulan Disember 2019,” katanya menerusi kenyataan media pada Januari 4 lepas.

Tambah Noor Hisham, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) turut melakukan analisa terhadap virus influenza yang dikesan daripada aktiviti survelan.

Katanya, hasil analisa juga tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (‘novel virus’).

Justeru, beliau menasihatkan mengenai langkah yang perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun seperti berikut:

— Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah .

— Elakkan daripada memberi ubat ‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’ (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.

— Memastikan pesakit minum secukupnya supaya kekal terhidrat dan sila bawa pesakit tersebut berjumpa doktor dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit influenza seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara. — DayakDaily