Oleh Cornelius Kadir Edison
KUCHING, 29 Jan: Peratusan antara kes buang bayi dengan kes kehamilan kalangan remaja di Sarawak menunjukkan trend peningkatan dan penurunan yang tidak ketara sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sepanjang tempoh tersebut, status bandingan bagi kedua kes tersebut adalah di bawah satu peratus iaitu antara 0.09 peratus hingga 0.46 peratus.
“Berdasarkan statistik oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) PDRM Sarawak, terdapat sebanyak 41 kes pembuangan bayi atau janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2020.
“Trend buang bayi di Sarawak sejak tahun 2014 adalah peningkatan dan penurunan status quo di antara 0 dan enam kes,” katanya pada sidang media One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di sini hari ini.
Beliau berkata, isu pembuangan bayi merupakan satu isu yang kompleks dan rumit untuk ditangani kerana kaitannya dengan pelbagai faktor antaranya melibatkan isu kehamilan remaja, penglibatan remaja dalam tingkah-laku berisiko, jenayah seksual, didikan agama, sistem sokongan dan pelindungan serta kesedaran masyarakat berhubung isu terbabit.
Katanya, stigma yang kuat terhadap kehamilan diluar perkahwinan dan kurangnya sokongan emosi daripada ahli keluarga menjadikan situasi isu tersebut bertambah buruk.
“Keadaan ini membuatkan remaja terbabit tertekan lalu mengakinatkan remaja atau ibu muda ini membuang dan meninggalkan bayi mereka kerana rasa malu dan takut dengan keadaan yang menimpa diri mereka,” katanya.
Fatimah berkata, bagi menangani isu tersebut, kerajaan katanya menyediakan beberapa sistem sokongan termasuk penyediaan fasiliti ‘Baby Hatch’ serta kemudahan pelindungan di Taman Seri Puteri.
Katanya, penyediaan fasiliti ‘baby hatch’ yang mula dilaksanakan pada 2017 oleh Hospital Pakar KPJ bukan bertujuan untuk menggalakkan kes kehamilan luar nikah sebaliknya ia bagi memberikan pelindungan serta penjagaan kepada bayi dan menyelamatkan bayi terbabit daripada dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.
Tambah Fatimah, selain fasiliti ‘baby hatch’ dan Taman Seri Puteri yang disediakan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak bertindak sebagai pusat pelindungan untuk remaja atau kanak-kanak perempuan yang teraniaya akibat kes ancaman seksual atau kehamilan luar nikah.
Katanya, sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 seramai 56 remaja hamil telah ditempatkan di taman tersebut dengan 24 orang (42.6 peratus) daripadanya merupan remaja di bawah umur 16 tahun. — DayakDaily