Kerjasama semua pihak buktikan keupayaan Sarawak hadapi krisis Covid-19

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Oleh: Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 31 Dis: Sarawak berjaya membuktikan keupayaannya dalam memantau dan mengawal wabak Covid-19 apabila kadar jangkitan yang direkodkan di negeri itu sentiasa rendah berbanding dengan negeri lain di Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerjayaan itu sukar diperolehi tanpa kerja keras yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (SDMC) yang telah bertungkus lumus dalam memastikan rakyat Sarawak dilindungi daripada ancaman wabak tersebut.


“Saya, bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak, ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan oleh semua petugas di barisan hadapan pandemik Covid-19 yang telah berkorban sehingga wabak ini mampu ditangani dengan baik demi kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sarawak,” katanyan menerusi siaran video ketika sambutan ambang tahun baharu di sini hari ini.

Beliau berkata pengorbanan dan kerjasama rakyat di negeri ini dalam membantu memastikan rantaian wabak tersebut teputus juga wajar diberikan penghargaan.

Katanya pembudayaan norma baharu dalam kehidupan harian harus terus dipratikkan selagi terdapatnya ancaman wabak terbabit.

Ujar Abang Johari, walaupun pandemik tersebut telah menimbulkan krisis, namum ia tetap membuka peluang yang boleh diceburi rakyat dengan cara yang lebih kreatif.

“Dengan kawalan pergerakan, kita mendapati bahawa rantaian bekalan menjadi lebih kepelbagaian dan diperkemas, dan ekonomi digital termasuk e-dagang, pembayaran tanpa tunai dan penghantaran tanpa sentuhan menjadi ekonomi arus perdana,” katanya.

Mengulas pencapaian sejak 2018 hingga kini, Abang Johari berkata Sarawak telah berjaya menyusun semula struktur ekonominya melalui beberapa pendekatan strategik sekaligus meningkatkan keupuayaan kewangan negeri.

“Pada 2018, kita telah menubuhkan bank pembangunan (DBOS), Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) dan juga pembiayaan projek infrastruktur, khasnya jalan pesisir pantai, jambatan, bekalan elektrik dan bekalan air dan ini telah memberi kesan yang amat ketara kepada kawasan luar bandar hinggalah ke Ulu Kapit dengan siapnya Jalan Sibu-Kapit.

“Pada 2019 juga kita telah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, walaupun terpaksa melalui proses mahkamah. Ini telah memberi pendapatan tambahan kepada Sarawak pada tahun 2019 dan 2020, dan tahun-tahun berikutnya.

“Dasar ekonomi digital yang dipelopori Sarawak juga turut menghasilkan penyelesaian kepada jaringan komunikasi di Sarawak termasuk pembayaran secara maya menggunakan aplikasi Sarawakpay,” ujar beliau.

Tambah Abang Johari, Tahun 2021 merupakan permulaan untuk menuju ke tahun 2030 yang mana Sarawak dijangka berupaya menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi.

Justeru beliau menyeru agar rakyat Sarawak tidak mempertaruhkan masa depan mereka dan terus bersatu bagi mewujudkan sebuah negeri yang kuat dan stabil sekaligus dapat memberi manfaat kepada semua rakyat di negeri ini. — DayakDaily