Kerja penambahbaikan Lebuhraya Kuching-Samarahan seharus tidak dihentikan semasa cuti Krismas dan Tahun Baharu

Dr Kelvin Yii - file pic

KUCHING, 4 Jan: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii kecewa setelah menerima maklum balas daripada kementerian berkenaan bahawa kerja pembinaan bulatan di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan telah diberhentikan semasa Krismas dan Tahun Baharu.

Menurut beliau, tempoh tersebut merupakan waktu terbaik bagi melaksanakan kerja utama dan berat di sekitar kawasan pembinaan kerana kurangnya lalu lintas trafik.

“Ia adalah waktu cuti dan tiada keperluan mendesak untuk turun bekerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Dr Yii mencadangkan agar pelan pengurusan trafik disediakan dengan membina laluan alternatif sementara semasa projek pembinaan dilakukan pada masa kini.

Katanya, pihak bertanggungjawab tidak harus hanya sekadar meminta pengguna jalan raya untuk bersabar tetapi tidak memberikan apa-apa penyelesaian kepada mereka.

“Jadual tempoh masa kemajuan projek harus dihebahkan kepada umum secara berkala bagi membolehkan rakyat sentiasa sedar.

“Pihak terlibat juga perlu melakukan persediaan yang sepatutnya dan seterusnya memantau perjalanan projek agar disiapkan mengikut perancangan dan tiada lagi penangguhan dilakukan,” ujar Dr Yii.

Beliau juga mencadangkan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengadakan mesyuarat khas bersama dengan kontraktor utama dan sub-kontraktor berkenaan dengan isu Lebuhraya Kuching-Samarahan.

Ujar Dr Yii, mereka harus memberikan pelan perancangan yang teratur khususnya yang berkait rapat dengan pengurusan trafik semasa tempoh pembinaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas akibat daripada pembinaan projek tersebut.

“JKR Sarawak yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri Sarawak hendaklah peka, peduli dan memantau dengan lebih dekat lagi keupayaan dan gerak kerja kontraktor khususnya perkara yang berkait rapat dengan pengurusan trafik semasa projek dijalankan,” tegas beliau. — DayakDaily