Kereta terbalik dalam parit, pemandu kereta berdepan detik mencemaskan

Anggota bomba berusaha menarik keluar sebuah kereta yang terbalik dalam parit.
IBRACO WEBSITEI

KUCHING, Sept 30: Seorang pemandu kereta berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di dalam sebuah parit di Jalan Sri Wangi, Matang di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.07 pagi.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan terbalik di dalam sebuah parit sedalam kira-kira 1 meter.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menarik naik kereta tersebut menggunakan ‘winch’ jentera,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, setelah pemantauan dibuat, anggota bomba mendapati tiada mangsa di dalam kereta tersebut.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya apabila kereta berkenaan ditarik ke tepi jalan berkenaan,” katanya. — DayakDaily