Kereta rempuh pokok, seorang lelaki maut, seorang lagi parah

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 31: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Wong King Hui di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 42 tahun meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Jurucakap bomba dan penyelamat Sibu berkata, sepasukan enam anggota bomba telah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Viva yang merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki dalam keadaan tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Selepas berjaya mengeluarkan mangsa, seorang penumpang kereta tersebut didapati sudah tidak bernyawa, manakala pemandu dalam keadaan parah,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.23 pagi,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut. -DayakDaily