Kereta dan lori kargo bertembung, seorang lelaki maut

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

TATAU, Julai 26: Akibat kereta yang dipandu hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori kargo, nyawa seorang lelaki telah ‘melayang’ dalam satu kejadian kemalangan di KM1, Jalan Tatau-Bintulu di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 10.35 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Galambong Awan, 46, terkorban di lokasi kemalangan akibat tersepit dan kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta Proton Saga FLX sedang bergerak dari arah Bintulu menuju ke Tatau.


Menurutnya, apabila sampai di lokasi nahas, kereta yang dipandunya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori kargo.

“Kesan perlanggaran tersebut menyebabkan kereta berkenaan remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa juga tersepit di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, pemandu serta kelindan kenderaan berat itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pihak bomba turut berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori berusia 33 tahun itu untuk membantu siasatan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily