Kerani wanita lesap RM41,000 ditipu kekasih FB

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 16: Seorang kerani wanita kerugian RM41,000 selepas dipercayai terpedaya dengan kekasih ‘Facebook’ (FB) yang kononnya mengirimkan bungkusan hadiah kepada mangsa.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa berusia 26 tahun dikatakan telah berkenalan dengan lelaki kononnya bernama David Lee Chang menerusi FB.


Katanya, sepanjang perkenalan itu, mereka kemudian berhubung menerusi telefon sebelum suspek memberitahu dia akan menghantar bungkusan hadiah berupa sebuah komputer riba, telefon dan kasut kepada mangsa.

“Tidak lama selepas itu, suspek kemudian memberitahu kepada mangsa bahawa bungkusan barangan hadiah itu telah sampai di Hong Kong.

“Bungkusan itu hanya akan dihantar ke Malaysia sekiranya pembayaran dibuat bagi melepaskan barangan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa kemudian membuat transaksi pembayaran ke dalam akaun bank yang telah diberikan oleh suspek.

Jelasnya, mangsa mulai sedar bahawa dirinya telah ditipu setelah menceritakan perkara itu kepada rakannya selepas menyemak ‘tracking number’ bungkusan berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily