This Content Is Only For Subscribers
MIRI, 11 Ogos: Seorang kerani mengalami kerugian sebanyak RM250,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘phone scam’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata wanita berusia 40an terbabit telah menerima panggilan telefon pada Julai lalu daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat kurier.
Katanya, suspek telah memberitahu mangsa ada membuat penghantaran bungkusan dan semakan mendapati ia mengandungi Mykad, kad ATM dan Pasport.
“Mangsa menafikannya dan telah disambung ke satu talian untuk dia membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Mangsa disambung pangilan dengan seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Lai dari IPK Perak dan kali ini mangsa didakwa telah terlibat dengan kes pemerdagangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa cemas dengan dakwaan tersebut sehingga suspek menawarkan cara untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang miliknya ke beberapa akaun bank bagi tujuan semakan Bank Negara Malaysia.
“Mangsa telah melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank yang berlainan pada hujung Julai sehingga awal bulan ini dengan keseluruhan sebanyak RM250,000,” katanya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah panggilan dan mesejnya disekat suspek dan dia terus membuat laporan berhubung kejadian. — DayakDaily