Oleh Dean Adam
MIRI, Feb 23: Hampir setiap hari pihak polis memberi nasihat dan peringatan kepada masyarakat berhubung kes penipuan ‘parcel scam’ melalui akhbar dan media sosial, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang masih terpedaya oleh sindiket penipuan tersebut.
Hampir semua kes, mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek dan mereka hanya berkenalan melalui media-media sosial. Setelah wang diserahkan barulah semua mangsa menyedari telah ditipu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes penipuan ‘parcel scam’ terbaharu dilaporkan di Miri pada 22 Febuari lepas (semalam) melibatkan kerugian sebanyak RM19,500.
Katanya, pengadu adalah seorang wanita yang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di pusat bandaraya itu.
“Berdasarkan laporan diterima, pada Januari lepas, mangsa telah melayari laman sosial Instragram dan mendapati ada seorang lelaki kononnya bernama Alex telah ‘add’ untuk menjadi kawannya.
“Mangsa kemudian menerima Alex sebagai rakan Instagramnya dan lelaki itu mengatakan mahu berkenalan lebih rapat dengan wanita berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, suspek hanya mengatakan dirinya berada di luar negara, namun tidak memberitahu dia berasal dari negara mana.
Jelasnya, selepas itu lelaki terbabit memberitahu dia ada menghantar satu bungkusan yang mengandungi barang berharga seperti beg dan barang kemas kepada mangsa.
“Lelaki turut mengatakan terdapat wang di dalam parcel tersebut. Pada 10 Januari lepas, mangsa terima WhatsApp dari seorang wanita yang kemudian memperkenalkan diri sebagai Lenna yang mengatakan dari pihak Kastam Kuala Lumpur.
“Wanita itu meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk bayaran perkhidmatan kurier, insuran dan bayaran penghantaran parcel kiriman Alex kepada mangsa,” ujarnya.
Mustafa menambah, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM19,500 ke dua akaun bank berlainan antara 24 Januari dan 18 Februari melalui tiga kali transaksi.
Setelah bayaran dibuat, katanya mangsa sekali lagi diminta untuk membuat bayaran kepada pihak Anti-Money Laundering berjumlah RM53,100.
“Namun mangsa tidak membuat apa-apa bayaran selepas itu kerana mengesyaki ada perkara yang tidak kena dan merasakan telah ditipu.
“Malah barangan yang dihantar oleh rakan Instagramnya itu juga tidak diterima. Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah sebanyak RM19,500,” katanya. — DayakDaily