Kerajaan sedia peruntukan bagi tangani banjir di Sibu, kata Tiong

Dato Sri Tiong King Sing

KUCHING, 15 Feb: Kerajaan akan mempertimbangkan sejumlah peruntukan bagi membiayai projek penyelenggaraan bagi mengelakkan banjir berlaku dengan kerap dan teruk di Bahagian Sibu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dudong Dato Sri Tiong King Sing, perbincangan telah diadakan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Peruntukan itu juga adalah termasuk proses menaik taraf dan penyelenggaraan sistem perparitan yang menjadi faktor kepada berlakunya banjir di kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Tiong yang juga MP Bintulu, Abang Johari melahirkan keprihatinannya terhadap masalah banjir yang sering berlaku di Sibu dan mendesak agar ia diselesaikan dengan kadar segera.

Justeru, katanya, beliau (Abang Johari) bersetuju untuk mengadakan lawatan ke Sibu dalam masa terdekat bagi mendengar laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS).

Laporan itu juga akan merangkumi cadangan projek-projek bagi mengatasi masalah banjir di Bahagian Sibu.

Pada perbincangan bersama Abang Johari semasa menghadiri Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN), Tiong turut membawa bersama gambar-gambar kejadian banjir di Sibu untuk rujukan dan perhatian.

Tiong sekali lagi mengulangi cadangan untuk mendalamkan Sungai Rajang dan Sungai Igan supaya dapat menampung isipadu air hujan yang datang daripada alur serta anak sungai berdekatan. — DayakDaily