Kerajaan Sarawak sedia tingkatkan nilai faktor pengganda firma kejuruteraan

Abang Johari (duduk enam kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli IEM Cawangan Sarawak di majlis tersebut. Turut kelihatan adalah Masing (duduk lima kiri).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Ogos: Kerajaan negeri akan mempertimbang untuk meningkatkan nilai faktor pengganda untuk firma-firma yang terlibat di dalam kerja kejuruteraan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin keputusan itu boleh membantu merancakkan usaha membangunkan Sarawak.


“Saya telah mengadakan dialog dengan para jurutera dan mendapati nilai faktor pengganda di dalam kerja-kerja kejuruteraan di negeri adalah dibawah paras 2.

“Kita mempertimbang untuk meningkatkan nilai tersebut dan dengan penambahbaikan ini, saya yakin firma-firma berkaitan kejuruteraan mampu melaksanakan projek dengan efisyen.

“Dan yang paling mustahak adalah projek dapat dilaksanakan dengan integriti dan profesionalisma yang tinggi,” katanya di Majlis Makan Malam Tahunan 2019 Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak, di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, perkara itu telah dibincangkan dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Masing yang turut hadir di majlis itu.

Beliau yakin, dengan meningkatkan nilai faktor pengganda daripada angka sekarang, IEM mampu membantu membangunkan Sarawak.

Mengulas isu yang sama, Abang Johari menegaskan pada masa ini banyak projek pembangunan sedang dilaksanakan di Sarawak dan ini melibatkan kerja-kerja kejuruteraan.

“Dengan itu, kita memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam bidang kejuruteraan.

“Keperluan ini bukan sahaja di bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, tetapi di bidang kejuruteraan yang lain seperti automasi,” katanya.

Menyentuh soal belanjawan negeri berjumlah RM11 bilion, Abang Johari berkata RM9 bilion adalah khas untuk pembangunan di bandar dan luar bandar.

Sebahagian besar daripada peruntukkan tersebut katanya adalah untuk membina jalan raya, jambatan, projek bekalan kuasa dan air.

Turut hadir adalah presiden IEM David Lai Kong Phooi dan pengerusi IEM Sarawak Haidel Heli. — DayakDaily.