Oleh Chris Bishop
KUCHING, 14 Dis: Kerajaan Sarawak yang prihatin telah menangguhkan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) demi keselamatan rakyat, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, PRN12 sepatutnya telahpun diadakan tetapi kesihatan rakyat lebih diutamakan.
“Yang sebenarnya perancangan (pilihanraya) kita ialah awal lagi, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 dan demi rakyat ianya ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah selesai Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun Ke-24 Majlis Perbandaran Padawan(MPP) dan Pelancaran ‘The Last Ring Ladies Mural’ di Kota Padawan hari ini.
Setelah ditangguhkan, jelas beliau, maka PRN12 akan diadakan pada tahun 2021.
“Bila, saya tidak tahu, sekarang dah Disember, jadi ia akan diadakan pada tahun hadapan,” ujar Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ditanya pemberita sama ada PRN12 akan diadakan pada Februari atau Mac 2021, Abang Johari sekadar manjawab ‘saya tidak tahu’.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata tiada keperluan bagi GPS untuk menubuhkan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, isu tersebut telahpun dijawab oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).
“Datuk Karim sudah menjawab dan itulah keputusan kita. Tiada keperluan,” ujar Abang Johari. — DayakDaily