Kerajaan pusat luluskan RM1 bilion bagi kerja naik taraf ICQS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf infrastruktur serta meningkatkan keselamatan dan keupayaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Negeri kini sedang bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam melaksanakan setiap projek berkaitan ICQS.


“Ia adalah sebahagian daripada perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching pada 20 Januari 2023 lepas,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Dan Ekonomi Baharu di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah beliau, antara perkara yang disebut dalam mesyuarat termasuk kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, dan pelantikan wakil Sarawak sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut dipersetujui ialah geran khas tahunan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sarawak dinaikkan daripada RM16 juta kepada RM300 juta. ā€” DayakDaily