KUCHING, 30 Ogos: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof membidas dakwaan Naib Presiden PKR Dr Michael Teo bahawa kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak proaktif dalam usaha menyiapkan beberapa hospital di Sarawak.
Menurut Fadillah, JKR sentiasa memantau rapi perkembangan projek dan mengambil segala langkah perlu ke arah mempercepatkan pelaksanaannya, biar berdepan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.
“Malah dalam berdepan penularan Covid-19, kerajaan telah melakukan yang terbaik termasuk memastikan kemudahan disediakan mencukupi.
“Contohnya bagi Kuching, selain Hospital Umum Sarawak (HUS), pesakit Covid-19 turut ditempatkan di Anjung Kasih HUS, Kompleks Belia dan Sukan dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching, Batu 13.
“Kesungguhan kerajaan Malaysia dalam menangani Covid-19 serta penerimaan rakyat juga telah diperakui antara empat yang terbaik di dunia dan terbaik di Asean,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Teo di sebuah portal berita suratkhabar tempatan pada 29 Ogos 2020 bertajuk ‘Govt needs to be proactive in expediting works on abandoned hospital projects in Sarawak’
Justeru Fadillah menyifatkan tindakan Teo yang cuba mengaitkan kelewatan projek hospital kononnya menyebabkan kekurangan tempat untuk merawat pesakit Covid-19 adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, pemimpin PKR itu lebih kepada memutarbelit fakta demi kepentingan politik.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga MP Petrajaya memaklumkan bahawa JKR sedia maklum dengan isu tersebut dan tindakan proaktif telah diambil atas keperluan menjaga kepentingan rakyat dan penduduk Sarawak.
Tambah beliau, ia melibatkan pelaksanaan proses Tender Semula Menyiapkan Baki Kerja Terbengkalai Bagi Cadangan Hospital Petrajaya (300 katil) di Petra Jaya, Kuching secara reka dan bina.
“Status semasa di dalam peringkat penilaian tender oleh JKR Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemberian Surat Setuju Terima disasarkan pada penghujung Disember 2020 dan Tarikh Milik di tapak bina pada Januari 2021,” ujar beliau.
Berhubung status terkini pelaksanaan Projek Hospital Lawas (76 Katil) yang melibatkan Fasa 2B, Fadillah berkata projek telah memulakan pembinaannya pada 30 Jun 2020 dan akan disiapkan pada penghujung tahun 2023.
Manakala projek Hospital Sri Aman katanya sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan disiapkan pada Februari 2021.
“Pemantauan secara rapi telah dilaksanakan oleh JKR dengan mengadakan mesyuarat koordinasi dan pemeriksaan bersama secara berkala bagi memastikan penyiapannya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Prestasi fizikal bagi projek ini meningkat di dalam tempoh semasa dan tidak tersenarai sebagai projek merah,” ujar Fadillah.-DayakDaily