Kerajaan negeri serah 196 surat tanah NCR kepada pemilik di Julau

Mussen (belakang, empat kanan), Naroden (belakang, lima kanan) dan Rolland (belakang, enam kanan) bersama penerima surat tanah di Julau.

JULAU, Julai 18: Kerajaan Sarawak hari ini menyerahkan 196 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 kepada pemiliknya dalam majlis yang diadakan di Rumah Kiroh, Rantau Limau, di sini pagi tadi (Julai 18).

Surat hak milik tanah tersebut telah diserahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang diwakili Menteri Muda Perindustrian dan Pelaburan Malcolm Mussen Lamoh.

Awang Tengah dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Mussen berkata, sehingga Mei 31 tahun ini, 2.18 juta ekar ataupun 884,899 hektar telah disukat dibawah Pengukuran Tanah NCR inisiatif baharu.


“Untuk lot individu, sebanyak 26,765 lot melibatkan 33,288 hektar telah disukat,” tambah beliau.

Beliau seterusnya menyeru penerima surat hak milik tanah dalam majlis itu untuk mengusahakan tanah mereka sebaik-baiknya.

“Usahakanlah tanah anda agar ia mengeluarkan hasil yang optimum dan memberi manfaat dari segi ekonomi kepada anda,” tambah Awang Tengah.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan E-Dagang Datuk Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan Rolland Duat. — DayakDaily