Kerajaan negeri serah 188 surat hak milik tanah kepada penduduk Mukah

Awang Tengah (barisan depan, empat dari kanan) dan Fatimah (barisan depan, lima dari kiri) bersama dengan penerima surat hak milik tanah.

MUKAH, Mei 30: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan surat hak milik tanah Seksyen 18 kepada 188 orang penerima pada satu majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Dalat di sini semalam.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian surat pemberian milikan tanah untuk tujuan pertanian kepada 102 penerima dari Ulu Sungai Apang dan Sungai Buluh, Oya di sini.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, Awang Tengah menyeru rakyat agar tidak percaya mainan politik sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri tidak jujur dalam memberikan surat hak milik tanah.


“Sehingga April 30, sebanyak 26,036 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 32,376 hektar (80,003 ekar),” kata beliau.

Beliau juga berkata fokus pada tahun ini 2019 ialah untuk mengukur lot-lot individu iaitu susulan daripada 718,522 hektar (1.776 juta ekar) yang telah diwarta untuk dikeluarkan surat hakmilik individu.

“Pencapaian peringkat kedua program ini iaitu pengukuran lot-lot individu menjadi lebih mencabar sekiranya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pemilik tanah,” tambah beliau.

Menurut Awang Tengah lagi, ini jelas membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf tanah kepada pemiliknya yang berhak.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah. — DayakDaily