JAKARTA, Okt 25: Kerajaan negeri sentiasa bersedia memberikan bantuan kepada usahawan wanita dari Indonesia sekiranya mereka terbabit dengan kerjasama pelaburan perniagaan dengan usahawan wanita dari Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini terutamanya untuk usahawan wanita dari negara jiran itu yang terlibat dalam perniagaan kecil dan sederhana (SME).
“Kerajaan negeri Sarawak bersedia membantu mana-mana usahawan dari Indonesia yang melakukan usahasama bersama usahawan Sarawak dalam mengembangkan perniagaan dan pasaran,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bersama Ikatan Pengusaha Wanita Indonesia (IWAPI) di sini pagi tadi.
Perjanjian persefahaman tersebut akan menyaksikan Dewanita DUBS dan IWAPI untuk kerjasama meneroka idea baru, kemahiran dan usahasama perniagaan.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Yonny Tri Prayitno, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Sarawak, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg, Presiden Dewanita DUBS Juita Drap dan Timbalan Presiden IWAPI, Ira Sofwan.
Awang Tengah sehubungan itu mahu kalangan usahawan terbabit dari Sarawak dan Indonesia terutama dari Kalimantan yang merupakan jiran untuk bersikap berani dalam menceburi usahasama pelaburan peringkat antarabangsa yang berpotensi.
Beliau juga turut menasihati usahawan wanita dari kedua-dua negara untuk tidak ketinggalan menggunakan platform digital dalam memasarkan produk mereka kerana lebih luas pasarannya.
“Dalam masa yang sama, saya menyeru agar usahawan tempatan Sarawak untuk turut melihat peluang perniagaan lain. Sarawak adalah negeri yang kaya dengan sumber dan adalah wajar kita menggunakan sepenuhnya peluang yang ada,” tambahnya. — DayakDaily