Kerajaan Negeri pimpinan GPS masih kuat, terus bawa pembangunan di seluruh negeri.

Murid-murid SK Muding menyambut ketibaan Snowdan.

KUCHING, September 7: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memegang tampuk pemerintahan negeri masih kuat dan akan terus membawa pembangunan di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata jaminan itu disuarakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dimana pembangunan di luar bandar menjadi keutamaan.

Justeru, beliau mengesa rakyat Sarawak agar terus memberi sokongan padu kepada GPS .


“Kita masih menguasai kerajaan negeri melalui gabungan empat parti iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP.

“Empat parti dalam GPS ini bebas dari Barisan Nasional dan kita ada 72 ahli dewan undangan negeri dan 19 ahli parlimen. Ini bermakna kita ada 91 ahli Yang Berhormat, kita masih kuat dan jangan risau,” katanya di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rh Achang, Muding Danau Pantu, baru baru ini.

Snowdan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, menambah urusan Sarawak hanya sesuai dikendalikan rayat ataupun parti Sarawak sendiri.

“Disini kita tak memerlukan pemimpin dari negeri luar ataupun Semenanjung Malaysia, GPS parti tempatan dan merupakan yang terbaik untuk rakyat Sarawak.

“Itulah sebabnya kita keluar dari BN agar kita tiada kaitan lagi dengan Semenanjung Malaysia,” tambah Snowdan.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu percaya keputusan meninggalkan BN membuka peluang lebih cerah untuk kerajaan menuntuk hak yang sepatutnya dimiliki Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Snowdan (tiga kiri) menyerahkan cek kepada Alfred, wakil PIBG SK Muding.

Mengulas mengenai program pembangunan di luar bandar, Snowdan berkata jika tiada peruntukkan dari Kerajaan Pusat, Sarawak akan menggunakan duit sendiri.

“Jaminan ini telah diberi ketua menteri dimana kita ada rizab berjumlah RM32 biliun. Kita juga telah menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan Petros yang akan menguruskan hal ehwal berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Di majlis itu beliau menyerahkan cek RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Muding yang diterima guru besar Alfred Brandah

Turut hadir di majlis itu Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat dan tuai rumah Achang. — DayakDaily