Kerajaan negeri, JBPM Sarawak menyampaikan sumbangan bantuan kepada keluarga Yahya Ali

Fatimah (tiga dari kiri) menyampaikan cek sumbangan bantuan dari kerajaan negeri kepada ibu bapa Allahyarham Yahya Ali di Kampung Tian, Matu.

MATU, Okt 10: Kerajaan negeri dan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak telah menyampaikan sumbangan bantuan kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Yahya Ali, 24, di Kampung Tian, di sini, hari ini.

Yahya merupakan salah seorang dari enam anggota bomba JBPM Selangor yang terkorban ketika melaksanakan misi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas di lombong di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah telah mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyampaikan sumbangan bantuan bagi pihak kerajaan negeri yang berupa cek sebanyak RM10,000 kepada ibu arwah Halimah Geronggong dan bapanya, Ali Bengang di rumah mereka.


Disamping itu bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 dan Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 sebulan juga diumumkan diberikan kepada nenek arwah.

Wakil anggota JBPM Sarawak (kiri) menyampaikan kotak derma yang mengandungi sumbangan bantuan dari anggota bomba di jabatan itu kepada ibu bapa Allahyarham Yahya Ali di Kampung Tian, Matu.

Manakala wakil JBPM Sarawak pula menyumbangkan “kotak derma” yang mengandungi sumbangan derma dari warga jabatan terbabit yang tidak diketahui jumlahnya.

Fatimah ketika menziarah keluarga tersebut juga menasihatkan adik perempuan arwah, Zainab yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon mengikuti latihan kemahiran di Center of Technical Excellence (Centexs). — DayakDaily