Kerajaan negeri disaran membina LRT sekiranya mempunyai sumber kewangan

Datuk Peter Minos

KUCHING, Nov 15: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menyarankan kerajaan negeri membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan Kota Samarahan dan bandaraya Kuching sekiranya mempunyai sumber kewangan di masa depan supaya setanding Kajang dan Lembah Klang.

Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos berkata demikian kerana melihat Kota Samarahan bakal menjadi pekan Kajang dan Lembah Klang di Semenanjung yang padat penduduk dan pusat perniagaan kerana mempunyai perhubungan yang baik dengan bandaraya Kuala Lumpur dengan adanya jalan raya dan LRT.

“Sebab itu, pada makan malam ulangtahun kedua MPKS, November 11 lepas, MPKS menyeru kerajaan negeri melihat semula cadangan mengenai (pembinaan) LRT dan sekiranya boleh di masa depan yang tidak terlalu lama ianya dilancarkan sekiranya adanya sumber kewangannya,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.


Peter berkata buat masa ini lampu isyarat akan dipasang di bulatan di Kota Samarahan yang menyebabkan lalulintas jalan raya menjadi perlahan dan sesak ketika waktu puncak turun dan pulang kerja.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, telah berjanji akan membantu mengenai pemasangan lampu isyarat den melihat semula idea pembinaan LRT; ini amatlah dihargai,” katanya.

Beliau berkata penduduk yang berulang alik melalui Samarahan selama ini merasai kepayahan terperangkap dalam kesesakkan lalulintas amat gembira mendengar berita tersebut.

“Kalau masalah trafik dan komunikasi di Samarahan tidak ditangani, masalah itu lambat laun akan mempunyai kesan buruk terhadap pembangunan, pelaburan, perniagaan yang cepat berkembang di Kota Samarahan,” katanya.

Peter berkata sebagai pihak berkuasa tempatan di Kota Samarahan, mereka tidak boleh memejamkan mata terhadap masalah kawasan itu dan perlu melakukan bahagiannya bersama dengan agensi lain yang berkaitan.

Selain itu, beliau juga menyeru Agensi Pembangunan Samarahan Serantau Bersepadu (IRSDA) yang penubuhannya baru diumumkan Ketua Menteri supaya segera menyelesaikan masalah kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan dengan sebaiknya. — DayakDaily