Kerajaan negeri digesa sedia lot tanah baru untuk penduduk setinggan di Jalan Airport Kapit

Larry (berdiri tengah, baju biru) bergambar bersama penduduk setinggan di Jalan Airport Kapit.

KAPIT, Mac 28: Kawasan setinggan yang terletak di Jalan Airport di sini merupakan satu-satunya setinggan yang wujud di Bandar Kapit. Kawasan setinggan ini didiami oleh lebih kurang 20 isi rumah yang majoriti mereka datang daripada Ng Pila, Merit dan Ng Ensawie, Pelagus.

Menurut satu kenyataan media dari pengerusi DAP Bukit Goram Larry Asap, para penduduk setinggan ini datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan tidak mampu untuk menyewa rumah sewa di sekitar bandar Kapit.

“Menurut maklumat yang disampaikan oleh para penduduk kepada saya, mereka sekarang berada di dalam keadaan dilema apabila mereka diminta oleh pihak Jabatan Tanah Dan Ukur untuk berpindah daripada kawasan tapak setinggan kerana kawasan tersebut akan dimajukan untuk tujuan pembangunan,” kata Larry.

“Kami disini rata-ratanya berpendapatan rendah dan kami tidak mampu untuk membeli lot-lot tanah yang sangat mahal dan melebihi kemampuan kami. Kami tidak tahu kemana mahu pergi jika berpindah daripada kawasan sini. Anak-anak kami bersekolah di sini, kemudahan hospital ada disini. Segala urusan agak mudah dilakukan disini berbanding dengan kawasan rumah panjang di Ng Pila, Merit,” kata salah seorang penduduk berkenaan.

Larry menyeru kepada kerajaan negeri untuk memandang serius akan isu ini dan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mengenalpasti lot tanah baharu dan menempatkan para penduduk setinggan ini di tapak tanah baharu berkenaan,bagi memastikan kebajikan rakyat yang berpendapatan rendah ini terjaga. — DayakDaily