Kerajaan negeri digesa percepat pembinaan Jambatan Selampit

Mordi Bimol (gambar fail)
Advertisement

KUCHING, 27 Mei: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol menggesa pihak kerajaan negeri agar mempercepatkan pembinaan Jambatan Selampit untuk menggantikan penggunaan pengangkutan perahu untuk penduduk Kampung Selampit dan Kampung Bitokan.

Katanya, Menteri bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Dato Seri Mahdzir Khalid dalam sesi Parlimen pada 18 Nov 2021, menyatakan RM30 juta sudah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, status terkini projek Jambatan Selampit masih belum dapat ditender memandangkan terdapat isu pertapakan (siting application) yang mana State Planning Authority (SPA) tidak meluluskan cadangan lokasi jambatan bagi projek tersebut.

Advertisement

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana bagi projek ini telah mengemukakan permohonan pertapakan sebanyak empat kali kepada SPA tetapi tidak diluluskan.

“Pihak Kementerian masih lagi sedang dalam proses libat urus bagi menyelesaikan isu tersebut termasuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak melalui State Implementation Monitoring Unit (SIMU),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mordi turut berkata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam (26 Mei) ada menyatakan bahawa JKR akan menghantar semula siting application untuk pembinaan Jambatan Selampit kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Timbul pelbagai persoalan apakah yang terjadi selama tempoh hampir 2 tahun 5 bulan antara JKR dengan SPA dan SIMU. Mengapa permohonan pertapakan empat kali oleh JKR kepada SPA tidak diluluskan?” soal Mordi.

Tambahnya, projek jambatan yang telah tertangguh bertahun-tahun lamanya itu wajar dibina secepat mungkin agar penduduk Kampung Selampit dan Kampung Bitokan tidak perlu lagi menggunakan perahu terbuka menyeberangi sungai dan berhadapan risiko serangan buaya serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Berapa lama lagikah mereka perlu menunggu untuk membawa pesakit sewaktu kecemasan? Tiada alasan lagi untuk projek ini tidak diteruskan dan juga dijadikan umpan pilihanraya. Pembinaan Jambatan Selampit ini harus dipercepat,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement