KUCHING, Julai 14: Ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum menyokong penuh dan berterima kasih kepada ADUN mereka Kennedy Chukpai Ugon di atas ucapan perbahasan Usul Penghargaan atas ucapan Perasmian Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sempena Persidangan Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-18 semalam.
Menurut Pemanca Tony Kulleh, beliau menyokong penuh usul berkenaan isu yang disampaikan Chukpai berkenaaan tuntutan pampasan ke atas tanah kebun, temuda di mana mengikut jangkaan asal perimeter takungan air empangan Bakun, tanah-tanah ini diluar perimeter empangan tetapi ada ditakung air dalam Empangan Bakun, termasuk paras air lebih tinggi dari jangkaan awal.
Seorang lagi ketua masyarakat dari Murum, Pemanca Umek Jeno, juga menyatakan bahawa jangkaan awal paras air Empangan Bakun yang tidak tepat menyebabkan kubur-kubur terpaksa dipindah semula ke paras yang lebih tinggi.
Beliau juga menjelaskan bahawa bayaran pampasan untuk tanah yang tenggelam yang tidak diukur dan pampasan untuk kubur yang dipindah kali kedua tidak dibayar oleh pihak kerajaan dan memohon pampasan dibayar kepada Penduduk Asal Hulu Balui.
Turut menyokong usul perbahasan ADUN Murum adalah Penghulu Saging Bit dimana beliau bersetuju dengan usul tidak setuju oleh Chukpai berkenaan saiz ‘Native Territorial Domain’ (NTD) yang dihadkan kepada 1,000 hektar. Had asal adalah 500 hektar.
Menurut Saging, keluasan tanah NTD bagi setiap kampung atau rumah panjang seharusnya ditentukan oleh rumah panjang masing-masing sepadan dengan bukti sejarah penggunaan tanah bagi kawasan setiap kampung.
“Kawasan NTD bagi Orang Ulu khasnya di Murum dan Belaga sangat luas terutamanya melibatkan kawasan berburu, menangkap ikan, mencari hasil hutan dan sebagainya,” kata Saging.
Sementara itu, semua ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum dari kawasan Murum menggesa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempercepatkan perlaksanaan projek infrastruktur yang telah mendapat kelulusan sebelum ini demi kepentingan rakyat seperti berikut: membina jalan-jalan baharu ke lot pertanian penduduk Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap (135km), membina jalan alternatif baharu ke Lusong Laku (10km); membina jalan alternatif baharu ke SK Kuala Kebulu (10km); menaiktaraf bekas jalan balak ke Ulu Jelalong, Tubau (65km); menaiktaraf bekas jalan balak ke kawasan penempatan semula Tegulang, Murum (10km); menaiktaraf bekas jalan balak ke kawasan penempatan semula Metalun, Murum (20km); menaiktaraf bekas jalan balak ke Lusong Laku, Murum (55km); menaiktaraf bekas jalan balak ke Long Urun, Murum (38km); menaiktaraf jalan Kampung ke Rumah Joseph/Rumah Julaihi/Rumah Jeranding, Ulu Jelalong (25km); menaiktaraf jalan ke Rumah Mering Madang/Rumah Wan Usin/Rumah Resah/Rumah Ramli, Tubau (25km), menaiktaraf jalan ke Rumah Ding Taman/Rumah Ugak, Tubau (15km); menaiktaraf jalan ke Long Bala (10km) dan menaiktaraf jalan ke Long Koyan (15km).
Turut menyokong tuntutan-tuntutan tersebut ialah Penghulu Katan Lawai, Penghulu Ibau Ajan dan Penghulu Musa Talik, yang turut menjelaskan bahawa isu tanah sangat dekat di hati penduduk asal Balui, Murum dan Belaga, amnya sesuai dengan kata-kata yang dipetik dari mesej WhataApp Mantan Temenggong Pahang Deng. — DayakDaily