KOTA SAMARAHAN, Nov 11: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah taman rekreasi yang khusus bagi orang ramai berkumpul bagi bermain catur beramai-ramai di kawasan pusat bandaraya Kuching.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata cadangan itu sudah dibicangkannya dengan dua pihak berkuasa tempatan bandaraya terbabit iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
“Kita bercadang mewujudkan taman tersebut di pusat bandaraya ini, kemungkinan di Tebingan Kuching supaya orang ramai boleh bermain permainan catur juga dengan kalangan pelancong asing di sana di ruang yang terbuka,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Catur Terbuka Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 2018 Kali Ke-3 (Fide-Rated) di
Dewan Pavillion, Kampus Unimas, di sini, hari ini.
Keseluruhannya seramai 135 pemain catur dari negara ini, Indonesia, Filipina, dan Brunei telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dianjurkan Persatuan Catur Unimas dan terbahagi kepada kategori pemain antarabangsa, pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar dan kakitangan Unimas, pelajar sekolah dan peminat permainan catur.
Len Talif berkata sekiranya ramai pelancong asing juga bermain catur di taman terbabit maka ini akan mewujudkan pergaulan mereka dengan penduduk tempatan serta ini seterusnya menambah lagi tarikan pelancongan ke bandaraya Kuching.
Beliau berkata di luar negara sudah ada taman sedemikian bagi orang ramai berkumpul bagi bermain catur dan pihaknya menjangkakan pengwujudan taman itu juga sesuai di pusat bandaraya Kuching kerana semakin ramai penduduk sekitar Kuching dan Kota Samarahan yang bermain catur dan menyertai pertandingannya.
“Saya sendiri seorang pemain catur ketika tahun 90an tetapi sudah berhenti bermain 20 tahun lalu, tetapi apa yang penting adalah kita (pemain) yang sudah berumur ini terbabit dalam memperluaskan jaringan (pemain catur) terutama sekali di sekolah-sekolah,” katanya.
Len berkata ini diharapkan akan meramaikan lagi anak muda di bangku sekolah lagi sudah meminati permainan catur dan membolehkan bakat baharu dalam dikenalpasti dan dididik secara teratur dan profesional bagi menyertai pertandingan dan mengharumkan nama negara.
Sehubungan itu, beliau juga mengumumkan sejumlah peruntukan yang dirahsiakannya bagi menganjurkan lagi pertandingan itu dan berharap penganjur dapat menambah bilangan pesertanya termasuk dari luar negara. — DayakDaily